Thursday, December 27, 2012

Sepi, tenang

Bismillah, Assalamualaikum.

Malam ini ku terasa sepi. Walaupun dari kejauhan terdengar sang cengkerik menyanyikan lagu kegemaran mereka. Adik-adik sepupu berlagu riang memecah kesunyian seperti kebiasaan. Tapi ku masih terasa kesunyian itu.

Mungkin kah disebabkan aku dalam kerinduan terhadap keluarga ku nun jauh di kampung halaman? Atau kepenatan setelah sehari suntuk memerah keringat mencari rezeki yang direhaiNya?

Apa yang ku pasti, kesunyian ini membuatkan hati ini lebih tenang, mencari keredhaanNya.Mencari apa yang selama ini tersembunyi.

Ya Rabb, ku mohon kepadaMu lindungilah aku dari segala kejahatan dan perkara yang Engkau murkai. Ku pohon kepadaMu hidayah dan taufiq kearah jalanMu dan jangan lah Engkau ambil kembali setelah Engkau berikan kepadaku.



Adakalanya, diam itu lebih baik dan bermakna dari berkata-kata.
Muhasabah diri.
Selamat malam.
-suaida-

Monday, October 8, 2012

GADIS ITU (Episod 1)

Gadis itu, jiwanya cukup lembut. Hatinya mudah tersentuh, Air matanya mudah tertitis tanpa dipinta. Dia diciptakan untuk menjadi seorang yang tabah dan sabar. Sejak kecil dia diuji dengan kesusahan hidup. Namun, dia masih diberi peluang untuk bersekolah seperti kanak-kanak sebaya dengannya. Sehingga dia berjaya membuktikan kepada orang lain bahwa dia seorang yang bijak.

Berkat dorongan dan kasih dari ibunya, dia berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama sewaktu memasuki Tingkatan 1. Berat hatinya ingin meninggalkan ibu, adik-adik dan kampung yang banyak memberinya erti kehidupan. Menangis-nangis dia memujuk ibunya untuk tidak menghantarnya ke sekolah itu. Namun, pabila dia terlihat wajah ibunya berubah, dia terus bersetuju tanpa dipinta. Dia tidak ingin menjadi anak derhaka. Dia tekad untuk bersekolah di situ walaupun terpaksa. Tujuannya cuma satu, ingin lihat ibunya bahagia, gembira, tersenyum manis.

5 tahun di sana, gadis itu berjaya membuktikan pada ibunya bahwa dia tidak mengecewakan hati ibu tersayang. Walaupun ibunya tidak pernah datang melawat dia di asrama, dia tetap bertanya khabar ibunya dan tidak pernah kecil hati kerna dia tahu ibunya jauh, mahu membesarkan adik-adiknya yang lain.

Akhirnya, dengan keputusan SPM yang memberangsangkan, Alhamdulillah dia berjaya ditawarkan di Universiti Awam. Dia tekad untuk terus berbakti pada ibunya. Bulan demi bulan, sehingga lah peperiksaan akhir, dia masih tekun belajar. Dia tidak pernah lupa akan ibunya di kampung. Dan akhirnya, dia mendapat anugerah Dekan berturut-turut sepanjang dia belajar di universiti itu. Dia tersenyum. Hatinya bangga, gembira dapat membahagiakan ibunya dengan kejayaannya..

***
-bersambung-


Teringat mak kat rumah. Mak, kakak sayang mak sangat-sangat. 
Maafkan segala dosa-dosa kakak pada mak ye? :')
Suaida

Sunday, July 22, 2012

Keseronokan Berbuka Puasa

Assalamualaukum w.b.t.

Jam ketika ini telah menunjukkan hampir pukul 6 petang, menandakan hanya satu jam lebih saja lagi untuk berbuka puasa. Hari ni dah masuk hari yang kedua umat Islam menunaikan kewajipan berpuasa. Selalunya anak-anak mahupun ibu dan ayahnya akan keluar ke bazar mencari juadah untuk berbuka. Jika si ibu telah masak di rumah, si ayah akan membeli kuih-muih sebagai pencuci mulut untuk berbuka.

Bercakap tentang bazar, terkenang saat diri masih diperantauan melanjutkan pelajaran di Jengka, Pahang. Ketika itu umur ku telah mencecah lewat belasan tahun. Aku dan rakan-rakan akan menaiki van kuning, yang juga merupakan pengangkutan utama pelajar-pelajar di situ, selain bas UiTM. Sesampainya di bazar, kami akan rambang mata memilih makanan untuk berbuka. Habis satu bazar kami jelajah, tetapi tangan masih kosong. Akhirnya, seperti kebiasaan, hanya Yong Tau Fu kegemaran menjadi pilihan aku. :)

Tiba waktu maghrib, kami memilih bilik siapa yang akan menjadi mangsa sepahan juadah berbuka kami. Selalunya bilik aku dan Tasha yang menjadi tumpuan. Kata mereka, "bilik korang bersih, cantik. Tak macam bilik kami, bersepah, hehee.." Maka riuh rendahlah bilik aku dengan kehadiran rakan-rakan yang menceriakan.

Pabila makan beramai-ramai, teringat aku ketika stay di hostel kesayangan. :) Setiap petang sekitar jam 5, pelajar-pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 akan bertadarus mengikut kumpulan. Manakala pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 1 yang baru pulang dari sekolah, akan membersihkan, menyiapkan diri sambil menunggu waktu berbuka. Ada juga sekumpulan pelajar yang akan menolong Mak Cik Dining menyiapkan hidangan berbuka. Selalunya pelajar junior lah. TERIMA KASIH adik-adik :) Sebagai senior ketika itu, masuk sahaja dewan makan, makanan dah terhidang atas meja yang dikhaskan untuk kami, pelajar-pelajar Tingkatan 5. Untung kan jadi senior? :) Kesian tengok adik-adik yang baru pulang dari sekolah, terpaksa beratur untuk mengambil makanan. Lagi kesian, kadang-kadang mereka terpaksa berbuka di luar dewan makan. Mujur makanan masih mencukupi untuk mereka. Maafkan akak-akak ye dik. :)

Tarawih ketika itu tak pernah tinggal. Kesorokan untuk melakukan ibadah tak pernah luntur dek ramai yang melaksanakannya. :) Maklumlah, hanya rakan-rakan menjadi teman ketika itu, tanpa keluarga di sisi. Pabila Hari Raya hampir tiba, masing-masing tidak sabar untuk pulang ke rumah menemui keluarga yang di rindui. Hingga ada yang sanggup mengemas beg pakaian seminggu awal kerana excited!

Semua itu kenangan terindah yang tak buleh di lupakan sampai bila-bila. :)
Terima kasih kepada mak, mak cik dan nenek yang berusaha memujuk aku untuk menetap di asrama sejak Tingkatan 1..

Buat adik-adik yang duduk di hostel, jauh dari keluarga, jangan bersedih. Adik-adik akan merasai kegembiraan dan keseronokan berbuka puasa bersama rakan-rakan, walaupun kegembiraan itu tak mungkin sama. :)

Semoga ibadah puasa hari ini, dan hari-hari seterusnya akan diterima Allah. InsyaAllah. :)


Wallahu'alam.

Terkenang.. seawal jam 4.30 pagi, mak cik gigi emas akan 
ketuk tingkap bangunkan kami untuk bersahur.
Suaida